Bagi pengusaha pertanian mungkin perkataan PARAQUAT sudah tidak asing lagi kepada mereka.
Manakala bagi segelintir masyarakat luar bandar terutama masyarakat di ladang-ladang (estate) atau
di Felda juga mungkin sangat mengenal akan racun serangga ini yang kadang kala menjadi buah
mulut setempat berlaku kes membunuh diri. Ini kerana paraquat yang terkandung di dalam racun
rumpai ini sangat dikenali kerana menjadi pilihan dalam banyak kes membunuh diri kerana sifatnya
yang sangat toksik secara akut. Kes keracunan akibat penggunaan paraquat juga sering mendapat
liputan kerana selalunya ia berakhir dengan tragedi kematian.
Tiada penawar (antidote) bagi penyalahgunaan paraquat sekiranya sesaorang terambil atau
terminum paraquat dalam kuantiti tertentu, besar kemungkinan mangsa tidak dapat diselamatkan
daripada kematian. Penggunaan paraquat yang tidak mengikut peraturan juga akan menyebabkan
kesan buruk jangka panjang kepada pengguna atau pengendalinya seperti dermatitis, kegagalan
buah pinggang, kegagalan pernafasan, kanser kulit dan penyakit Parkinson.
Kajian saintifik juga membuktikan bahawa penggunaan paraquat dalam aktiviti pertanian
menunjukkan bahawa paraquat tidak mudah terurai (persistent) di dalam tanah. Ini kerana
kemampuan paraquat bertahan dalam tanah (half-life) boleh mencapai tempoh masa yang lama iaitu
hingga melebihi 1000 hari. Ia juga boleh dibawa dalam larian air bersama mendapan yang
menjadikannya berpotensi untuk mencemarkan air bawah tanah.
Di Malaysia, paraquat didaftarkan untuk mengawal rumpai di semua peringkat umur tanaman
terutama di ladang kelapa sawit, getah, kelapa, koko, pisang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Penggunaan paraquat di negara ini tertakluk kepada beberapa sekatan (restricted use) dengan memastikan agar penggunaannya mengikut cara yang selamat bagi mengelakkan kesan negatif
kepada kesihatan pengguna, organisma bukan sasar dan alam sekitar.
Pengharaman penggunaan racun paraquat di Eropah telah bermula seawal tahun 1984 lagi di atas
sifat toksik racun ini terhadap manusia serta kesan kepada alam sekitar. Sweden merupakan negara
pertama mengharamkan penggunaan paraquat diikuti dengan Finland (1986), Switzerland (1989),
Denmark (1994), Norway (1991), Austria (1992), Slovenia (1997) dan Norway (1993).
Sementara tiga Negara Asia mengikuti jejak negara-negara Eropah iaitu Cambodia, Kuwait dan Qatar
mengharamkan penggunaan racun paraquat sejak tahun 2003.
Di Amerika (USA), penggunaan paraquat masih lagi dibenarkan namun penggunaannya dikawal ketat
dengan memastikan pematuhan beberapa syarat yang ketat untuk melindungi pekerja atau
pengguna serta orang awam daripada risiko yang tinggi akibat penggunaan paraquat.
Antara syarat yang dikenakan termasuklah penggunaan terhad untuk pengguna berlesen serta
mewajibkan pemakaian Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) semasa pengendalian. Manakala
penyataan amaran dan awas khusus dimasukkan pada label untuk panduan pengguna. Tempoh
sekatan masuk ke ladang yang baru disembur (Re-entry Interval) juga dikenakan dan mesti dipatuhi
serta memastikan penggunaan paraquat tidak akan menimbulkan masalah hanyutan semburan
(Spray Drift). Selain daripada itu larangan keras terhadap penggunaan paraquat di kawasan
perumaham, sekolah, taman rekreasi, padang golf dan taman permainan.
Syarat-syarat di atas mungkin tidak menjadi masalah dan mampu dipatuhi di USA kerana penggunaan
racun perosak seperti paraquat hanya dilakukan pada musim panas (bukan sepanjang tahun).
Penggunaan pakaian PPE yang lengkap adalah lebih selesa digunakan di negara beriklim temperate,
serta kesedaran dan kesediaan pengguna racun perosak di negara itu mematuhi syarat yang telah
ditetapkan jika dibanding dengan suasana dan penerimaan pengguna dikebanyakkan negara-negara
sedang membangun di sebelah Asia.
Faktor tidak memperdulikan arahan dan amaran serta langkah keselamatan yang tercatat pada label
menyebabkan pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO)
untuk memberi kesedaran kepada pengguna khususnya para petani kerap menemui kegagalan.
Justeru, kawalan dan penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan untuk melindungi
pengguna daripada terus terdedah kepada bahaya paraquat
HENTIKAN PENGGUNAAN PARAQUAT DI MALAYSIA
8:56 PM
IsuPengguna, Kesedaran, Keselamatan, PenggunaanRacun