SEJARAH

Asal-usul Nama Kuala Langat
Untuk mengetahui asal-usul Langat secara mudah ia dapat dikaitkan dengan sebatang sungai yang bernama Sungai Langat. Dari segi kedudukan Langat terletak di kuala sungai tersebut. Menurut sumber lisan ada yang mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan minangkabau yang membawa maksud " air hangat". Menurut sumber ini lagi pada masa dahulu pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama kelamaan tempat dipersekitarannya disebut Kuala Langat. Satu lagi sumber lisan menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat melayu disekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada logiknya nama langat dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di sungai itu.

Sejarah Daerah Kuala Langat
   Pada zaman dahulu, Kuala Langat dikenali sebagai Langat dan tapak asal bandar ini terletak di Jugra yang dahulu dikenali sebagai Bandar Temasya. "Langat" dipercayai dibuka oleh orang-orang Bugis yang datang dari Johor pada abad ke-18 untuk menjalankan perdagangan dengan Melaka. Jugra dikatakan sangat terkenal pada zaman Keagungan Kesultanan Melaka. Kawasan Langat juga dipercayai telah wujud lama sebelum berkembangnya Kesultanan Melaka iaitu dengan terjumpanya sejarah yang berusia kira-kira 2,000 - 2,500 tahun di Kampung Sungai Lang Tengah pada tahun 1964.

Dari segi Sejarah, Daerah Kuala Langat mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Negeri Selangor.

Pada pertengahan abad ke-18, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor adalah terletak di Kuala Selangor. Perpindahan dari Kuala Selangor ke Jugra berlaku pada tahun 1859 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad. Baginda merupakan Sultan Selangor ke-4 yang memerintah pada tahun 1857-1898.

Sejak itu, Bandar Temasya (Jugra) telah dikenali sebagai Bandar Diraja dan memainkan peranan penting dari segi politik, sosial dan pembangunan ekonomi di Selangor. Keadaan ini banyak dibantu oleh kerana kedudukan daerah ini yang berhampiran dengan pantai dan muara sungai, yang mana amat sesuai dengan sistem pemerintahan yang berasaskan pengangkutan sungai dan laut. Dengan kedudukan kawasan yang terletak di muara Sungai Langat serta berhampiran dengan Pulau Carey, kawasan ini dianggap selamat dan dimudiki hingga ke kawasan hulu bagi tujuan perniagaan, perdagangan dan petempatan. Ini telah menarik perhatian penduduk-penduduk kawasan berhampiran seperti pedagang-pedagang dari Sumatera dan Bugis.

Pintu Masuk Ke Kuala Langat
Terdapat 4 (Empat) pintu masuk ke dalam Daerah Kuala Langat iaitu :-
•Dari Klang melalui Jalan Klang 
 Banting.
•Dari Sepang melalui Jalan Tanjung
  Sepat (Jalan Pantai)
•Dari KLIA melalui Jalan Bukit 
 Changgang/Labohan Dagang.
•Dari Putrajaya melalui Jalan
 Dengkil.

PROFIL DAERAH KUALA LANGAT
LOKASI
Kuala Langat merupakan salah satu dari sembilan daerah yang terletak di Negeri Selangor Darul Ehsan. Kedudukannya terletak di bahagian Barat Daya Negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 44 km dari Shah Alam iaitu ibu Negeri Selangor. Daerah Kuala Langat ini bersempadan dengan Daerah Sepang dan Klang. Di sebelah utara terletak Daerah Klang, Di sebelah Timur dan Selatan adalah Daerah Sepang dan Selat Melaka pula adalah di Bahagian Barat Daerah Kuala Langat.

KELUASAN
Daerah Kuala Langat meliputi kawasan seluas 857.65 km persegi (bersamaan 85,775 hektar).Luas kawasan dibawah Pentadbiran pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Kuala Langat ialah 62.294 km persegi dan kawasan luar yang ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat adalah seluas 10 km persegi.

PENDUDUK
Jumlah penduduk di Daerah Kuala Langat adalah melebihi 200,000 orang dengan majoritinya adalah berbangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta sejumlah kecil Orang Asli.
Setiap Tahun jumlah penduduk di Daerah Kuala Langat akan bertambah, pertambahan bilangan penduduk di Daerah Kuala Langat adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah kemajuan yang begitu cepat di Daerah Kuala Langat, penghijrahan penduduk dari daerah dan negeri lain ke daerah Kuala Langat, perkahwinan, kelahiran dan juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi kadar ekonomi di Daerah Kuala Langat.

Disamping itu juga, Daerah ini disokong dengan kemudahan infrastruktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar Diraja Klang, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.

Daerah Kuala Langat juga adalah berlatar belakangkan perusahaan, perindustrian serta perdagangan dan pada masa kini Daerah Kuala Langat mempunyai sebuah kawasan perindustrian bertaraf Zon Bebas yang terletak di Telok Panglima Garang. Daerah ini mempunyai seramai 44.5 peratus sahaja iaitu penduduk Bandar manakala 55.5 peratus penduduk luar bandar.

MUKIM / KAWASAN
Mempunyai 6 mukim dalam Daerah Kuala Langat iaitu :-

NAMA MUKIM
Mukim Tanjung Dua Belas (1)
Mukim Tanjung Dua Belas (2)
Mukim Telok Panglima Garang
Mukim Bandar & Jugra
Mukim Morib & Kelanang
Mukim Batu

Daerah Kuala Langat hanya mempunyai sebuah pulau iaitu:-

NAMA PULAU
LOKASI
Pulau Carey Terletak di Mukim Telok Panglima Garang dan kedudukannya adalah di selatan Pelabuhan Klang dan di Utara Banting.

Daerah Kuala Langat juga mempunyai beberapa buah Bukit diantaranya adalah :-

NAMA BUKIT
LOKASI
Bukit Jugra Terletak di Mukim Bandar & Jugra
Bukit Cheeding Terletak di Mukim Tanjung Dua Belas (1)
Bukit Kemandol Terletak di Mukim Telok Panglima Garang
Bukit Perah Terletak di Mukim Tanjung Dua Belas (2)
Bukit Serdang Terletak di Mukim Bandar
Bukit Tadom Terletak di Mukim Tanjung Dua Belas (2)

PARLIMEN
 

1. Parlimen Sepang (P112)
    Y.B Dato' Ir Mohd Zin Bin
     Mohamad 
2. Parlimen Kuala Langat (P113) 
    Y.B Tuan Abdullah Sani Bin
     Abdul Hamid

DEWAN UNDANGAN NEGERI 
   
1. Dun Sijangkang (N51)
    Y.B. Dr. Ahmad Yunus bin Haji Hairi
2. Dun Telok Datok (N52)
    Y.B Tan Choon Swee
3. Dun Morib (N53)
    Y.B. Tuan Haji Hasiman bin Sidom
4. Dun Tanjung Sepat (N54)
    Y.B. Dato' Dr. Haji Karim bin Mansur
5. Dun Dengkil (N56)
    Y.B Dato' Marsom bin Paing